Sekumpulan Orang Gila menang AJL36, ramai yang tak sangka

Sekumpulan Orang Gila menang AJL36, ramai yang tak sangka

Lagu Pelukan Angkasa nyanyian SOG dan Shila Amzah mencipta kejutan apabila muncul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sekaligus melayakkan lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin itu membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi AJL.

AJL 36 yang berlangsung meriah turut menyaksikan lagu Cinta, nyanyian Marsha Milan yang dihasilkan Hang Nadim dan Bunga Cantik bergelar Naib juara dengan membawa pulang RM50,000 berserta trofi AJL.

Tempat ketiga pula dimenangi penyanyi Haqiem Rusly dengan lagu Mimpi ciptaan Haqiem dan Dato A.Aida yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Bagi kategori Vokal Terbaik, Aina Abdul menerusi lagu Sepi menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai pemenang yang turut membawa pulang wang tunai RM12,000 dan trofi.

Selain bergelar naib juara, Marsha Milan yang mencuri tumpuan peminat dunia hiburan dengan persembahan mantap turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik sekaligus membawa pulang RM18,000 dan trofi.

Keputusan penuh AJL36:

Juara : Pelukan Angkasa (SOG dan Shila Amzah)
Naib Juara : Cinta (Marsha Milan)
Tempat ketiga : (Mimpi) Haqiem Rusly
Persembahan terbaik : Marsha Milan (Cinta)
Vokal terbaik : Aina Abdul (Sepi)
Penyanyi pilihan popular AJL : Aina Abdul & Khai Bahar (Nafas cinta)