Selepas 50 tahun, akhirnya royalti karya P Ramlee tamat

Selepas 50 tahun, akhirnya royalti karya P Ramlee tamat

 

Tan Sri P Ramlee, Seniman Agung, yang meninggal pada 29 Mei 1973 telah menandakan genap pemergian beliau selama 50 tahun.

Selari dengan itu, juga berakhirnya hak untuk menerima royalti atas karya P Ramlee yang selama 50 tahun telah diatur oleh Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Ini bermakna Sazali, anak kepada Allahyarham, berusia 64 tahun, tidak akan lagi berhak menerima bayaran royalti daripada karya P Ramlee bermula tahun depan.

Walaupun begitu, Sazali berharap kerajaan dapat memberikan kelulusan untuk melanjutkan kontrak royalti tersebut beberapa tahun lagi. Sehingga kini, beliau belum menerima sebarang berita baik berkaitan dengan permohonan lanjutan kontrak tersebut.

Bayaran terakhir yang akan diterima olehnya adalah pada bulan Ogos 2023 ini.

Sebab tuntutan lanjutan royalti

Permohonan lanjutan dipohon oleh beliau kerana sangat bergantung kepada wang yang diterima untuk melangsungkan hidup serta membiayai kos rawatan kesihatannya dan isterinya, Hamidah Hitam, 61 tahun, yang semakin uzur.

Walaupun mereka menerima bantuan bulanan sebanyak RM900 dari Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi untuk membiayai kos rawatan mereka berdua yang dirujuk di hospital di Cheras, Kuala Lumpur.

Sazali, yang menetap di Semenyih, Selangor, terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke hospital dan kosnya juga tinggi berdasarkan jarak, selain daripada kos sara hidup yang juga semakin meningkat.

Pembahagian royaliti P Ramlee

Menurut Akta Hak Cipta 1987, royalti dari lagu-lagu P Ramlee dibagi kepada warisnya, iaitu isterinya,Allahyarham Puan Sri Saloma, sehingga Biduanita Negara itu meninggal pada 25 April 1983.

Royalti kemudian dibagi kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee, yang memutuskan untuk membahagikan pendapatan tersebut kepada beberapa waris lain.

Setelah Nasir meninggal pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diurus oleh MACP diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.