Selepas hilang kuasa di Melaka, Zahid gesa mandat diberi semula kepada rakyat

Selepas hilang kuasa di Melaka, Zahid gesa mandat diberi semula kepada rakyat

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak kisah parti itu kehilangan pentadbiran di Melaka.

Ahli Parlimen Bagan Datok itu sebaliknya mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Pembubaran itu bagi membolehkan mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dirasakan layak menerajui negeri itu.

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tetapi tunggulah saya rasa elok (juga) ada pilihan raya negeri yang baharu.

“Ia supaya DUN Melaka dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat (dan) untuk rakyat pilih mana kerajaan terbaik bagi tadbir negeri dan negara kita,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Suara Merdeka.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Suleiman Md Ali.

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan beliau bersama Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.