Selepas kalah teruk macam calon bebas, Tun M kata jangan bersedih

Selepas kalah teruk macam calon bebas, Tun M kata jangan bersedih

Biar pun kalah di kesemua 125 kawasan, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) masih mempunyai jalan panjang untuk menegakkan kebenaran.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan meski pun kadang-kala dipinggirkan.

“Saya mengutus surat ini untuk 4,566 pengundi-pengundi yang telah memberi undi mereka kepada saya di dalam PRU ke-15 untuk kerusi parlimen Langkawi.

“Saya tidak tahu siapa yang telah mengundi saya kerana undi itu rahsia jadi saya tidak ada jalan lain untuk ucap berbanyak terima-kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana telah dengan berani memberi undi kepada saya melainkan melalui surat terbuka ini.

“Yakinlah bahawa walaupun kita tidak ramai, ia tidak bermakna perjuangan kita tidak benar. Malahan, kerana berpegang kepada prinsip perjuangan itulah kita kadang-kala dipinggir,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berharap agar para penyokongnya tidak berada dalam keadaan sedih bagi meneruskan perjuangan parti itu bagi membela nasib bangsa, agama dan tanah air.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri kecundang di Parlimen Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Abdullah yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 13,518 selepas mendapat 25,463 undi.