Selepas kantoi, Ahli Parlimen PKR mohon maaf pada Najib

Selepas kantoi, Ahli Parlimen PKR mohon maaf pada Najib

AHLI Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad memohon maaf terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung hantaran berbaur fitnah yang mengaitkan nama Ahli Parlimen Pekan itu dengan tahap kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi kenyataan hari ini, Noor Amin mengakui kesilapan beliau berkongsi satu tangkap layar kononnya status Facebook yang diambil daripada seorang pembantu Dr Mahathir.

Katanya, kesilapan itu dikesan selepas Najib meninggalkan komen di Facebooknya semalam bagi menunjukkan log aktiviti Facebook beliau yang membuktikan tangkap layar tersebut tidak benar.

“Saya ada meninggalkan komen membayangkan status tersebut ditulis oleh cytro yang menjaga akaun FB beliau kerana mustahil beliau sendiri akan tulis begitu.

“Setelah dibuktikan status tersebut tidak benar, saya akui kesilapan berkongsi tangkap layar tersebut dan menurunkannya daripada perhatian umum.

“Saya akui ini kekhilafan saya kerana didorong rasa geram bila komen sedemikian boleh dibuat terhadap orang sakit, walaupun berbeza pandangan politik. Justeru itu saya meminta maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Noor Amin berkata beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang untuk mereka yang menggunakan gambar Facebook beliau untuk reka tulisan yang bukan daripadanya.

Terdahulu Najib berkata mengarahkan peguamnya untuk memulakan proses saman fitnah Noor Amin berhubung hantaran berbaur fitnah yang mengaitkan namanya dengan isu kesihatan Dr Mahathir.

Najib berkata, beliau akan meminta peguamnya berbuat demikian terhadap Noor Amin dan pembantu Dr Mahathir, Adam Mukhriz jika kedua-duanya tidak memadam posting dan membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai perkara itu hari ini.

“Setelah membaca komen-komen dalam posting saya dan posting Ahli Parlimen PH Kangar berhubung fitnah ‘Selamat jalan?’, saya telah arahkan peguam saya untuk mulakan proses saman fitnah terhadapnya dan seorang pembantu Atuk (Dr Mahathir)

“…. sekiranya mereka tak padam posting dan mohon maaf secara terbuka hari ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, tindakan saman terhadap Adam dibuat kerana Noor Amin memberi alasan bahawa hantarannya itu dibuat selepas memetik ciapan Twitter Adam.

Sementara itu difahamkan, Adam telah memadam ciapannya di Twitter yang mengaitkan Najib dengan isu kesihatan Dr Mahathir.