Selepas kantoi fitnah, Harakah akan mohon maaf dengan Mujahid

Selepas kantoi fitnah, Harakah akan mohon maaf dengan Mujahid

Bekas menteri, Mujahid Yusof Rawa, menyelesaikan saman fitnahnya terhadap organ PAS, Harakah, tanpa menjalani perbicaraan.

Saman itu melibatkan isu pengusaha kosmetik, Nur Sajat, yang berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah.

Peguam Mujahid, Noorazmir Zakaria berkata, kedua-dua pihak merekodkan penghakiman persetujuan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan hari ini dalam perbicaraan secara maya.

“Terma dan syarat penyelesaian ini akan kekal sulit seperti yang dipersetujui,” kata Noorazmir kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, wartawan Harakah Aziz Muda akan menerbitkan permohonan maaf bertulis di Harakah dalam tempoh tujuh hari.

Peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, dan Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai pengendali portal harakahdaily.net, juga mengesahkan penyelesaian itu.

Pada 30 Ogos, Zulqarnain memberi lebih masa kepada kedua-dua pihak untuk mempertimbangkan penyelesaian kes di luar mahkamah.

Perbicaraan dijadualkan bermula secara dalam talian dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sebagai saksi bagi pihak Mujahid.

Mujahid, yang juga bekas menteri hal ehwal agama, memfailkan saman itu pada 12 Ogos 2020 dengan menamakan Aziz, Wan Nordin, Galeri Media Serbanika dan syarikat pencetak, Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Beliau mendakwa kata-kata fitnah terhadapnya diterbitkan dalam artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’jaan PH Patut dipersalahkan” serta “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH” antara 10 hingga 13 Februari tahun lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menuntut permohonan maaf terbuka, penarikan balik artikel berkenaan serta ganti rugi.

Defendan dalam pernyataan pembelaan mereka berkata, Mujahid tidak patut tersinggung dengan kritikan terhadapnya oleh orang awam terutama pengamal media berkaitan isu itu.

Defendan berkata, mereka tidak berniat jahat terhadap bekas menteri itu sebaliknya penerbitan artikel berkenaan adalah ulasan wajar.

“Defendan menegaskan mereka mempunyai kewajipan politik, moral dan sosial untuk menyampaikan pandangan berbeza rakyat dalam isu itu kerana ia turut melibatkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Amar Makruf Nahi Mungkar,” kata defendan.