Selepas Tun M bongkar rahsia besar, akhirnya Zahid buka mulut

Selepas Tun M bongkar rahsia besar, akhirnya Zahid buka mulut

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan permohonan maaf daripada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) membuat tuntutan berkenaan susulan kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu yang mendakwa beliau pernah meminta siasatan rasuah terhadap dirinya dihentikan.

Menurutnya, dakwaan itu adalah pembohongan kerana beliau tidak pernah meminta Dr Mahathir berbuat demikian.

“Saya dijemput bersama-sama dengan Presiden-presiden parti oleh Tun M (Dr Mahathir) untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.

“Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun M untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, mana mungkin beliau melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh.

“Kerana ketika itu saya adalah Timbalan Perdana Menteri dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan ‘letter of demand’ (LOD) kepada Tun M untuk dia memohon maaf atas pembohongannya,” katanya.

Beliau merujuk laporan media yang mengatakan Dr Mahathir dalam satu sidang media hari ini, mendedahkan Ahmad Zahid, pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap beliau dihentikan.

Dr Mahathir mendakwa pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri.