Senang menteri buat kerja, dakwa insiden Gunung Jerai adalah takdir Allah
Pokok lengkap dengan akar yang dihanyutkan air dalam kejadian kepala air di Hutan Simpan Gunung Jerai membuktikan bahawa kejadian itu adalah takdir Allah SWT.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata kejadian itu bukan akibat kegiatan pembalakan haram seperti dakwaan sesetengah pihak.
Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) membidas kenyataan Takiyuddin yang berkata, kejadian di hutan simpan itu adalah `Act of God (Tindakan Tuhan).
Anwar berkata, setiap kali berlaku bencana alam, pemimpin kerajaan seperti sebelum ini akan menyalahkan kuasa Tuhan sebagai punca.
“Saya melawat kawasan bencana itu dan lihat sendiri pokok besar yang masih berakar dihanyutkan air. Ini membuktikan pokok itu bukan dibalak, tetapi adalah akibat keadaan semula jadi,” kata Takiyuddin di Sidang Dewan Rakyat, hari ini, lapor Harakah.
Menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS- Jerai), katanya Hutan Simpan Gunung Jerai telah diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2018 dan kegiatan pembalakan memang tidak dibenarkan.
Katanya, kawasan hutan itu adalah sebahagian Hutan Simpan Kekal Ulu Muda seluas 106,000 hektar dengan 12 peratus daripada kawasan itu adalah kawasan perlindungan dan baki boleh diusahakan.
“Bagaimanapun, saya dapat pengesahan kerajaan Kedah yang menyatakan bahawa sejak 3 tahun lalu, tiada pemberian lesen untuk diusahakan. Walaupun antara 2014 hingga 2019, kira-kira 25,000 hektar diluluskan untuk diusahakan, tetapi tiada kelulusan di Gunung Jerai,” katanya.
Takiyuddin berkata, kerja restorasi kawasan hutan di sepanjang jalan menuju ke puncak Gunung Jerai juga akan dilakukan menggunakan peruntukan RM75 juta untuk hutan tersorok seluruh negara.
Menjawab soalan tambahan Anwar mengenai aktiviti pembalakan yang berterusan, Takiyuddin berkata, tiada pelanggaran terhadap Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hutan yang boleh diusahakan pernah direkodkan di seluruh negara sepanjang dua tahun lalu.
Katanya, seluas 39,354 hektar CTT diluluskan tahun lalu namun hanya 22,931 hektar yang diusahakan dan pada 2019, seluas 43,299 hektar CTT diluluskan dan hanya 10,949 hektar diusahakan,” katanya.