Sesak tak ada duit, ibu bunuh 2 bayinya & simpan dalam peti sejuk
Lapor The Korea Times, seorang wanita bergelar ibu telah ditahan pihak berkuasa negara itu setelah dia didakwa membunuh dua bayinya yang baru lahir.
Lebih menyayat hati, si ibu itu tergamak menyimpan bayi-bayi itu di dalam peti sejuk kediamannya.
Difahamkan, wanita berusia 30-an itu telah mencekik dua anaknya itu sehingga mati setelah melahirkan mereka pada tahun 2018 dan November 2019 sebelum ‘menyimpannya’ di dalam peti sejuk rumah yang berlokasi di Suwon, Seoul, Korea Selatan.
Perkara kejam itu mula terbongkar apabila pihak polis menerima laporan daripada Lembaga Audit dan Pemeriksaan Kerajaan mengenai kelahiran kedua-dua bayi itu namun ia tidak pernah didaftarkan.
Maklum pihak polis, kedua-dua bayi malang itu dilahirkan di hospital dan seorang dibunuh di rumah dan seorang lagi dibunuh berdekatan hospital sehari selepas melahirkan mereka.
Ketika soal siasat, wanita itu mengaku membunuh anak-anaknya kerana kesempitan hidup dan dia juga mempunyai tiga orang anak lagi untuk ditanggung.
Si suami pula dilaporkan sedia maklum mengenai isterinya yang hamil dan telah diberitahu kandungan sudah digugurkan namun tidak menyedari tentang pembunuhan kejam tersebut.