Shuib mengaku sedang kenali seseorang, terkantoi ketika ditemuramah

Shuib mengaku sedang kenali seseorang, terkantoi ketika ditemuramah

SELEPAS hampir lima bulan pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pelawak Shuib Sepahtu mengakui ada mengenali seseorang.

Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 38, berkata hubungan itu masih baharu dan dalam peringkat berkawan, namun menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.

“Ya ada kenal orang baharu, tapi hanya berkawan dahulu buat masa sekarang. Saya tak berani nak cakap.

“Harap semuanya baik-baik sahaja. Saya serahkan kepada Allah. Nak bercerita soal apa yang berlaku ke depan saya sendiri tidak tahu,” katanya memetik mStar.

Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, ibunya juga sudah memberi keizinan untuk mencari pengganti.

Namun, katanya jika dia mahu mencari jodoh perlulah mendapat persetujuan daripada ibu dan anak-anaknya.

“Ibu pun ada bercakap supaya saya mula kenal dengan orang lain. Tapi saya fikir bagaimana orang nak terima saya dengan anak empat.

“Jika mahu mencari jodoh perlu persetujuan daripada ibu dan anak-anak. Kalau saya yang suka tetapi anak-anak tidak okey memang tidak akan jadi. Buat masa ini saya serahkan kepada Allah sahaja,” katanya.

Shuib berkahwin dengan Siti Sarah pada 2011.

Siti Sarah, 37 meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.

Beberapa hari sebelum meninggal dunia Allahyarham selamat melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar.

Selain Ayash, Allahyarham meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.