Situasi menakutkan, Caprice terima 60 ugutan bunuh
Aktivis terkenal, Caprice mendedahkan telah menerima lebih 60 kes ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenalinya, lapor Utusan.
Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli memberitahu perkara tersebut menerusi Instastorynya baru-baru ini.
Dalam perkongsian itu, Caprice memberitahu disebabkan ugutan-ugutan tersebut, dia terpaksa diletakkan di bawah kawalan keselamatan yang cukup ketat.
“Dalam masa dua bulan ini, saya terima lebih 60 ugutan bunuh sebenar, nak jumpa depan pagar, nak turun pejabat, ajak jumpa, ugut jangan sampai Pulau Pinang dan bermacam-macam lagi.
“Saya diletakkan di bawah kawalan keselamatan, selama 24 jam, tujuh hari seminggu sejak sampai Kuala Lumpur,” dedahnya.
Dalam perkongsian sama, Caprice juga memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang atau beradu di gelanggang untuk menamatkan segala ugutan diterimanya.
“Perkara ini tidak menyeronokkan, apatah lagi melucukan. Kita boleh selesaikannya mengikut undang-undang, atau dengan pertarungan amal di gelanggang melibatkan pasukan awak dan saya. Ikut undang-undang atau dalam gelanggang.
“Jangan tinggalkan ancaman dan ingat saya akan berdiam diri. Saya bukan lelaki itu,” tulisnya panjang.
Dalam masa yang sama, Caprice yang membalas hantaran mesej salah seorang pengikutnya di IG berkata dia belum berkesempatan untuk melaporkan semua ugutan diterimanya kepada pihak berkuasa kerana masih menjalani tempoh kuarantin setelah pulang dari luar negara.
“Tak dapat singgah Bukit Aman lagi. insyaAllah selepas kuarantin, saya nak fokus kepada perniagaan, keluarga, misi dahulu dan selepas itu dapat kerjasama dengan pihak pdrmsia_official untuk selesaikan isu-isu yang lain ini,” tambahnya.