Sultan Selangor tegur menteri agama isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani

Sultan Selangor tegur menteri agama isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) termasuk isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perkara itu berada di bawah bidang Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah berkenaan dan Majlis Raja-Raja.

Sultan Selangor yang juga Pengerusi MKI bertitah, JAKIM hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

Sehubungan itu, titah Sultan Sharafuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan Jawatankuasa Muzakarah.

“Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

“Setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa Agama Islam setiap negeri,” titah baginda menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Afifi al-Akiti di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Turut menghadap, Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir.

Berhubung isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani, Sultan Sharafuddin bertitah, keputusan muzakarah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya adalah bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah.