Syed Saddiq tampil pertahan diri selepas Pemuda Pas label budak-budak

Syed Saddiq tampil pertahan diri selepas Pemuda Pas label budak-budak

 

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mempertahankan dirinya selepas dituduh bersikap ‘kebudak-budakan’ di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menafikan tuduhan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar, selain menjelaskan apa yang dibangkitkannya adalah berkenaan soal dasar dan bukan serangan peribadi.

“Budak budak? Saya bangkitkan soal dasar, bukan serang peribadi. Kenapa isu Ketirisan RM620 juta yang dilaporkan ketua Audit Negara, PAS bisu.

“Tetapi sampai buat perbincangkan khas di Kabinet berkenaan tukar nama “Timah”, sampai ada Jawatankuasa yang melibatkan tiga menteri,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, pemimpin seharusnya memberi tumpuan kepada isu rakyat, membina sistem pendidikan yang hebat dan memastikan tadbir urus yang baik.

“Kalau asyik main isu perkauman, nanti tersepit seperti isu Judi Berlesen yang meningkat bawah Kerajaan Melayu-Islam,” katanya.

Semalam, Mohamed Sukri menyelar ucapan Syed Saddiq Syed di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang dianggap tidak matang dan hanya bermain persepsi.

Beliau berkata, tindakan Syed Saddiq yang cuba mengaitkan ketidakhadiran Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) di Glasgow, Scotland sememangnya sudah menjadi cara berpolitik Pakatan Harapan (PH) sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

Beliau berkata, Syed Saddiq perlu bersifat matang dan tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat untuk bermain persepsi bagi meraih politik murahan.

“Rakyat juga sudah jemu dengan trend menjengkelkan dan tidak matang ini yang ternyata hanya bermain persepsi sahaja,” katanya, menurut laporan Malaysiapost.