Tahniah! Lelaki ini terpilih jadi imam solat tarawih di Universiti Oxford

Tahniah! Lelaki ini terpilih jadi imam solat tarawih di Universiti Oxford

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan, Dr Amru Al Haz Adnan dipilih menjadi salah seorang imam solat tarawih di Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom sepanjang bulan Ramadan ini.

Selain itu, Amru Al Haz yang juga bekas Timbalan Imam Besar, Masjid Negara turut diminta menjadi tenaga pengajar asas tahfiz al-Quran di universiti terkenal dunia tersebut sepanjang tempoh berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pemilihan pegawainya itu disifatkan sebagai satu penghargaan besar buat jabatannya.

“Ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan universiti terbaik dunia kepada Jakim dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh diperingkat antarabangsa,” ujarnya melalui hantaran di Facebook Jakim pada Isnin.

Program penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri dibuat menerusi kerjasama antara Jakim dan Pusat Islam Oxford hasil inisiatif dan persetujuan bersama Felo di Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr Afifi Al Akiti.