Tajuddin bongkar rahsia, tiada jaminan Ismail Sabri kekal sebagai PM

Tajuddin bongkar rahsia, tiada jaminan Ismail Sabri kekal sebagai PM

BELUM ada jaminan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menjelaskan, ia boleh berlaku seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, di mana calon Menteri Besar Barisan Nasional (BN) akhirnya tidak dapat dilantik ke jawatan itu.

“‘Poster Boy’ di Johor dulu, Datuk Seri Hasni Mohammad, apa yang berlaku?

“Tetapi kita doakanlah yang terbaik. Kita tidak mahu bersangka buruk, kalau itu keputusan dan tujuannya baik akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk terus menjadi Perdana Menteri selepas PRU15,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa anjuran MKT Umno di ibu negara, malam tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan memaklumkan, MKT Umno sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15.

Namun, Tajuddin mengingatkan, sebarang kemungkinan boleh berlaku disebabkan politik dan ada individu lain juga bercita-cita dan berhajat menjadi Perdana Menteri.

“Semua orang hendak jadi PM, saya pun nak. Tetapi balik kepada logik dan realiti.

“Saya ada mempersoalkan dalam mesyuarat MKT, bahawa ia tiada jaminan. Saya menyokong kuat Ismail Sabri sejak dari mula,” katanya.