Tak hadir taklimat khas Presiden UMNO, Ismail boikot?

Tak hadir taklimat khas Presiden UMNO, Ismail boikot?

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak hadir ke taklimat khas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Difahamkan, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno tidak hadir ke taklimat hari ini kerana menghadiri program di Pahang.

Selain Ismail Sabri, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa turut tidak kelihatan dalam taklimat hari ini.

Terdahulu, ribuan ahli Umno membanjiri taklimat hari ini yang dilihat sebagai majlis solidariti kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Turut hadir isteri Najib, Rosmah Mansor dan peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafie Abdullah dan Zaid Ibrahim.

Sementara, seorang pegawai perdana menteri memaklumkan Ismail Sabri tidak hadir kerana urusan rasmi.

Memetik laporan FMT, dia berkata Ismail Sabri berada di kawasan parlimennya, Bera bagi majlis pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan peringkat kebangsaan pada pagi tadi.

“Perdana menteri tidak mempunyai masa untuk menghadiri ke WTCKL kerana ada program rasmi di Dataran Kerayong Bera, Pahang.

“Tapi, dia akan hadir mesyuarat majlis tertinggi Umno malam ini,” katanya, lapor Malaysiakini.