Tak mahu seks oral, pelajar tingkatan 1 ancam budak 10 tahun dengan pisau

Tak mahu seks oral, pelajar tingkatan 1 ancam budak 10 tahun dengan pisau

Enggan buat seks oral, pelajar tingkatan 1 ancam kanak-kanak 10 tahun dengan pisau. Seorang pelajar Tingkatan Satu sanggup mengancam kanak-kanak 10 tahun menggunakan pisau kerana enggan melakukan seks oral, dalam kejadian pada Ahad.

Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan, berkata suspek yang berusia 13 tahun itu bagaimanapun sudah diberkas di Gurun, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek yang dipercayai mengenali mangsa telah mengajaknya untuk naik kereta bersama, pada 4.30 petang, Ahad.

“Suspek yang memandu kereta jenis Perodua Kancil itu kemudian dipercayai telah memaksa mangsa membuka seluar dan melakukan seks oral terhadap suspek.

“Kerana mangsa enggan melakukan perbuatan itu, suspek telah menampar dan memukul mangsa,” katanya menurut Astro Awani.

Zaidy berkata, suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke rumahnya dan sekali lagi memaksanya melakukan perbuatan sama.

“Mangsa sekali lagi berkeras sebelum diacu dengan sebilah pisau oleh suspek yang turut mencekik leher mangsa,” katanya, lapor FMT.

Beliau berkata, mangsa akhirnya berjaya melepaskan diri dari rumah suspek, sebelum terjumpa orang awam dan meminta dihantar ke rumahnya, tidak jauh dari rumah suspek.

“Mangsa kemudiannya menceritakan perkara itu kepada bapanya dan bapanya telah membawa mangsa membuat laporan di balai polis Sungai Petani,” katanya.

Zaidy berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati kesan lebam di bahagian pipi kanan, calar di bahagian kiri dada mangsa, luka di bahagian kanan atas badan mangsa dan luka di pada lutut kanan kaki mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.