Tak vaksin pergi umrah: Kerajaan mengaku buat silap

Tak vaksin pergi umrah: Kerajaan mengaku buat silap

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengakui terdapat kekhilafan dalam proses pemeriksaan 17 jemaah umrah dibenarkan ke Arab Saudi tanpa vaksinasi sebelum disahkan positif Covid-19 varian Omicron setelah kembali ke tanah air baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kesalahan itu bagaimanapun  tidak harus diletakkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana setiap yang hadir ke sempadan negara sudah membawa pas pelepasan.

Beliau berkata, sekiranya individu sudah memiliki pas tersebut, ia bermakna mereka boleh melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.

Menurutnya, KDN akan berbincang dengan syarikat penerbangan supaya selepas ini proses pemberian pas pelepasan dapat dibaiki bahkan pekerja di kaunter boleh memeriksa sama ada individu yang hadir sudah divaksin atau tidak.

“Jadi kita jangan menuduh begitu sahaja, ada kekhilafan di situ dan Insya-Allah kita akan perbaiki sebab perkara-perkara ini yang tak pernah berlaku ini.

“Ya lah, kita manusia biasa dan kita belajar daripada apa yang berlaku dan insya-Allah kita akan perbaiki,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah dikesan tidak menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, susulan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) sama jemaah berkenaan tidak divaksinasi kerana faktor kesihatan atau memang enggan mengambil vaksin.