Takkan polis nak iring penjenayah Kerajaan digesa tamatkan khidmat polis pengiring Najib

Takkan polis nak iring penjenayah Kerajaan digesa tamatkan khidmat polis pengiring Najib

 

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong meminta kerajaan menamatkan perkhidmatan polis pengiring kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu dibuat, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Menurut Chee Keong, imej dan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak seharusnya diaibkan dengan menyediakan khidmat pengiring kepada Najib.

“Satu saja, perkhidmatan polis pengiring kepada Najib harus ditamatkan dengan serta merta.

“Jangan terus menerus aibkan polis kita dengan memaksa mereka mengiring penjenayah seolah-olah dia VVIP. Jaga maruah polis,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, Chee Keong berkata, Najib juga didakwa telah memalukan nama Malaysia selain nama Almarhum Tun Abdul Razak, berhubung sabitan kes berkenaan.

“Depa tanya, malu apa bossku? Hakim besar jawab, malu satu negara!

“Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menggelar tindakan Najib sebagai ‘national embarrassment’, aib negara. Tepat sekali,” katanya.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan hukuman Najib ditangguhkan bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Ketiga-tiga hakim berkenaan sebelum itu sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dibuat Mahkamah Tinggi sekali gus menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu.