Tanggung kos haji sendiri adalah lebih afdal, kata pensyarah Unisza
BERPELUANG menjejak kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat Haji dan menjadi tetamu Allah SWT sudah semestinya menjadi impian setiap Muslim di dunia ini.
Manakan tidak, bergelar ‘dhuyufurrahman’ dan mendapat haji mabrur bagaikan dilahirkan semula ke dunia sebagaimana bayi baru keluar dari perut ibunya, suci daripada segala dosa.
Bagaimanapun, kewajipan menunaikan ibadat haji sudah semestinya tertakhluk kepada beberapa syarat termasuk kemampuan kewangan selain syarat-syarat lain iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkuasa (istito’ah).
Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Prof. Madya Dr. Jamalluddin Hashim, seseorang yang bakal menunaikan haji juga sebenarnya perlu mempunyai kos yang cukup untuk ke Tanah Suci berdasarkan harga semasa.
“Jika kewangan tidak mencukupi, individu berkenaan dikira tidak wajib mengerjakan haji. Kemampuan kos tersebut adalah dengan usaha sendiri dan bukannya dengan bantuan atau sumbangan daripada pihak lain.
“Malah, berdasarkan perbincangan para fuqaha tentang penerimaan sumbangan atau bantuan pihak lain bagi menyempurnakan kos ibadat haji ini, ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak digalakkan syarak. Ini kerana dibimbangi akan berlaku perbalahan berpunca ungkitan daripada pihak yang menyumbang sehingga menyebabkan penerima sumbangan sakit hati,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Tambah Jamaluddin, berkemampuan yang menjadi syarat wajib mengerjakan haji ini dipetik daripada firman Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 97 yang menyebut; “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.
Menurutnya lagi, seorang tokoh dalam mazhab Syafi’i Al-Imam al-Nawawi turut menyatakan seseorang itu wajib mengerjakan haji dengan sendiri apabila kelima-lima syarat yang dinyatakan dipenuhi iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkuasa (istito’ah).
“Istito’ah biasanya diterjemahkan dengan berkuasa atau berkemampuan dalam Bahasa Melayu. Dalam karangan fiqh Mazhab Syafi’i, istito’ah mengerjakan haji itu dibahagikan kepada dua bahagian
“Bagi yang mengerjakan haji dengan perbelanjaan sendiri, dia dikira memenuhi dua unsur pelaksanaan haji yang dituntut oleh syarak iaitu fizikal dan kewangan. Manakala yang melaksanakan haji dengan bantuan kewangan daripada pihak lain, dia dikira memenuhi satu unsur sahaja iaitu fizikal,” jelasnya.
Apabila cukup segala syarat-syarat sama ada pada bahagian pertama atau kedua, seseorang itu dikira wajib melaksanakan haji.
Namun Jamalluddin berkata, dalam konteks semasa perjalanan haji jemaah Malaysia, kos kewangan bukan sahaja melibatkan bekalan bahkan turut merangkumi kos kenderaan.
“Syarak telah menetapkan tentang keperluan memenuhi kadar kewangan yang mencukupi bagi seseorang bakal haji itu mengerjakan haji yang melibatkan segala bekalan dan perbelanjaan sara diri sepanjang pemergiannya ke Tanah Suci hingga kembali ke tanah air.
“Di samping itu, individu yang pergi ke Tanah Suci perlu meninggalkan sara hidup orang yang wajib ditanggungnya dengan mencukupi sepanjang pemergiannya ke Tanah Suci hingga kembali ke tanah air. Malah, mereka perlu selepas melunaskan hutang yang tertanggung atas dirinya,” ujarnya.
Selepas segala tanggungan mampu diselesaikan dan cukup segala syarat kewangan yang dinyatakan ini, Jamaluddin berkata, barulah bakal haji memenuhi syarat kewangan mewajibkannya mengerjakan haji.
Mengulas mengenai persoalan sama ada seseorang itu boleh mengerjakan haji dengan bantuan kewangan daripada pihak lain, Jamaluddin berkata, secara dasarnya al-Imam al-Nawawi pernah menyebut tentang perkara ini bagi orang berpenyakit lumpuh yang tidak mampu mengerjakan haji sendiri.
“Menurut al-Imam al-Nawawi, jikalau seorang anak atau orang lain menawarkan wang kepada bapa bagi mengupah seseorang mengerjakan haji untuknya, tidak wajib ke atasnya menerima pemberian tersebut menurut pendapat yang sah (terkuat dalam mazhab).
“Ini sekali gus menunjukkan bahawa menerima pemberian wang daripada pihak lain bagi mengupah orang lain mengerjakan haji untuknya (badal haji) bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh syarak. Antara alasannya adalah bantuan kewangan tersebut akan dibimbangi berlakunya ungkitan daripada pihak pemberi,” ujarnya.
Bagaimanapun Jamaluddin berkata, Ibn ‘Allan al-Siddiqi ada menyebut, jika sumbangan tersebut datang daripada pihak pemerintah daripada Baitulmal, wajib ke atasnya menerima sumbangan tersebut kerana tiada ungkitan daripada pihak pemerintah.
Katanya, Allah SWT turut berfirman dan menceritakan ganjaran pahala berlipat kali ganda yang diperolehi adalah sumbangan yang tidak diiringi dengan perbuatan mengungkit-ungkit serta tidak menyakiti penerimanya.
Ia boleh dilihat dalam surah Al-Baqarah ayat 261, Allah SWT berfirman: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Justeru Jamaluddin berkata, ayat ini jelas menunjukkan sumbangan diiringi perbuatan mengungkit dan menyinggung atau menyakiti pihak penerima tidak mendapat pahala di sisi Allah SWT.
Katanya, hal berkaitan kos ini turut dititikberatkan golongan salafus-soleh yang melihat pentingnya kos perbelanjaan mengerjakan haji ini dengan berusaha mendapatkan serta mengumpulkan wang perbelanjaan berkenaan.