Tengku Zafrul ‘kebal’, dapat jadi menteri walau ditroll dan kalah PRU
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang portfolio Menteri Kewangan dalam Kabinet yang diterajuinya.
Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan di bawah kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 1991 hingga 1998.
Manakala, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, dilantik memegang jawatan Menteri Ekonomi.
Pemilihan Ahli Parlimen Pandan itu diumumkan oleh beliau pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung, sebentar tadi.
Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut diumumkan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa, dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada Mac 2020, dipilih semula sebagai Senator bagi menjawat jawatan itu walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Tengku Zafrul menyertai UMNO bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15, menentang calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Noor Mohd Sahar dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli.
Beliau memperoleh 30,031, manakala Dr Dzulkifli menang tipis dengan kelebihan 1,002 undi selepas memperoleh 31,033 undi.
Datuk Seri Azalina Othman Said pula dinamakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di bawah Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, turut dilantik sebagai Senator ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin, yang juga Setiausaha Agung PKR dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.
Beliau pernah memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Mei 2018 hingga Mac 2020.
Pada PRU15 lalu, Saifuddin gagal mempertahankan Parlimen Kulim Bandar Baharu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), dengan majoriti 13,061 undi.
Dalam pada itu dua Ahli Parlimen dari Sarawak bertukar portfolio dalam Kabinet pimpinan Anwar.
Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipilih sebagai Menteri Kerja Raya bertukar dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang disandangnya sebelum ini.
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri yang menjadi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini, dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipilih sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Pemilihan Hannah yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menerajui kementerian terbabit mengulangi rekod menteri wanita sebelum ini iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Ahli Parlimen Pengerang.
Sebelum menjadi Ahli Parlimen, Hannah juga pernah menjawat jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.