Tentera kita ‘burnout’ kerana bertugas? Setakat ini tiada sebarang aduan

Tentera kita ‘burnout’ kerana bertugas? Setakat ini tiada sebarang aduan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menerima laporan warganya menghadapi petunjuk gejala tekanan melampau (burnout) susulan penugasan sewaktu pandemik Covid-19, setakat ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, satu daripada kaedah menaikkan semangat diterapkan adalah bertugas dengan tanggungjawab menabur bakti dalam menjaga keselamatan negara.

Menurutnya, sebagai anggota tentera, tugas adalah untuk menentukan rakyat Malaysia selamat bukan sahaja daripada ancaman musuh yang nampak atau ancaman luar.

“Malah kita melihat Covid-19 adalah satu daripada ancaman yang boleh membahayakan dan boleh mengakibatkan kematian oleh serangan musuh tak nampak.

“Oleh itu, komitmen kita memang sentiasa ada. Maksudnya tentera memahami tanggungjawab mereka.

“Sama ada tentera kita akan burn out atau tidak burn out, ini banyak bergantung kepada kefahaman bahawa tugas ini adalah satu tanggungjawab,” katanya dalam wawancara khas media sempena Hari Angkatan Tentera Ke-88 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa lagi usaha seperti pentingnya menentukan bahawa barisan hadapan itu sentiasa bertugas dengan semangat adalah untuk melihat misi berjaya.

Menurutnya, mungkin kes Covid-19 belum lagi mencatatkan penurunan, tetapi misi mereka seperti larangan rentas daerah dan negeri dapat disempurnakan dan ia adalah antara sebahagian kejayaan mereka.

“Perkara ini kita sentiasa tekankan kepada mereka dan apa yang kita lihat atau apa kita fahami bahawa mereka ini tidak ada lagi kes mereka kata bahawa ‘saya dah letih, saya tak nak buat lagi kerja ini’.

“Setakat ini kita tidak mendengar apa-apa keluhan. Perkara ini (burnout) daripada unit dan markas formasi kita sentiasa melihat serta prihatin akan tindakan kita untuk menjaga mental, fizikal, serta rohani perajurit,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan perang melawan Covid-19 berterusan selama 20 bulan tanpa henti sejak Januari tahun lalu, menjejaskan kesihatan mental barisan petugas hadapan kesihatan apabila lebih 70,000 daripada mereka dikesan berdepan pelbagai gangguan emosi.

Jumlah pesakit baharu masih sekitar 20,000 ketika ini dan kematian pesakit Covid-19 di bawah jagaan mereka hampir setiap hari, menyebabkan ramai petugas kesihatan di hospital dan klinikal kerajaan mengalami stres ringan dan teruk, kemurungan serta kecelaruan.

Gangguan emosi itu dapat dilihat jelas menerusi perkongsian beberapa petugas kesihatan di media sosial, dengan ada yang mengaku menangis setiap hari berdepan bebanan tugas berkenaan.

Sumber – HM