Tercatit dalam buku sejarah Najib sebagai penjenayah, tegas Tun M

Tercatit dalam buku sejarah Najib sebagai penjenayah, tegas Tun M

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Najib Razak lebih memilih jenayah untuk dikait rapat dengan namanya, berbanding Tun Abdul Razak yang dikenali amat berjasa kepada negara.

Beliau berkata, ketika Tun Abdul Razak yang juga bapa kepada Najib menjadi Perdana Menteri, namanya dan pembangunan Malaysia disebut bersama.

“Malangnya Najib pilih jenayah untuk dikait rapat dengan dirinya. Tidak seperti bapaknya, Najib lihat kuasa sebagai peluang untuk memperkayakan dirinya.

“Demikianlah skala jenayahnya sehingga seluruh dunia mengenali Najib dan jenayah yang dilakukan olehnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Mahathir berkata, beliau sudah berulang kali menyebut nama Najib dan jenayah yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pekan itu ada kaitan dengan kerosakan negara dan kekalahan Umno

Jelas beliau, sebaliknya Najib cuba memadamkan kaitannya dengan jenayah apabila mendakwa ‘tidak salah jika pemimpin mencuri’.

“Diberi gelaran pada dirinya sebagai boss, dan tiada siapa perlu malu apabila boss curi.

“Anggapan perlakuan jenayah tidak memalukan bercanggah dengan nilai hidup masyarakat manusia dan masyarakat Malaysia. Jika tidak disangkal akan rosaklah masyarakat.

“Sebab itu hujah “tak malu” bila mencuri perlu ditolak untuk mengekal nilai asal yang mulia,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata bukan beliau sahaja yang mengaitkan nama Najib dengan jenayah.

“Seluruh negara, bahkan seluruh dunia menyebut nama Najib sebagai penjenayah dalam ucapan, tulisan, buku (termasuk buku adiknya), radio dan televisyen dan lain-lain media.

“Buku sejarah akan catit nama Najib supaya generasi akan datang kenal Najib sebagai penjenayah yang telah curi duit berbillion yang mahkamah telah sahkan.

“Saya akan sebut nama Najib sebagai penjenayah setiap kali yang diperlukan,” katanya.