Terima kasih PM bagi RM100, kami boleh makan seminggu

Terima kasih PM bagi RM100, kami boleh makan seminggu

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambahan sebanyak RM100 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi setiap isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) dan RM50 bagi bujang di bawah inisiatif tersebut.

Bagaimanapun, saya berasa agak terkilan apabila ada sesetengah pihak yang mempersendakan bantuan tambahan itu.

Secara keseluruhannya, sebagai seorang yang berasal daripada keluarga miskin tegar, pengumuman oleh Perdana Menteri amat dialu-alukan dan memberi manfaat kepada kami.

Tidak ada gunanya setengah pihak membesar-besarkan isu ini kerana pihak itu, terutamanya parti pembangkang tidak akan memahami nasib golongan miskin tegar.

Nilai sebanyak RM100 mungkin sedikit bagi sesetengah orang, tetapi bagi golongan miskin tegar, ia bermakna kami akan mendapat seminggu atau lebih tambahan makanan.

Oleh itu, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas bantuan tambahan itu.

Mungkin ada pihak yang bertanya apa yang boleh dibeli dengan RM100 hari ini? Bagi orang kaya, mereka mungkin boleh membeli dua keping kek keju dan dua cawan kopi di kedai kopi terkenal.

Tetapi untuk keluarga miskin seperti saya, ia boleh memberi kami makan selama seminggu. Bunyi mustahil untuk sesetengah orang? Itulah realitinya.

Kami tidak makan di restoran atau hotel, tetapi sebaliknya, kami menggunakan wang itu untuk membeli beras dan keperluan lain yang dimasak di rumah dan boleh bertahan beberapa hari.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang sangat miskin di Gemas, Negeri Sembilan dan benar-benar tahu betapa berharganya RM100 kepada keluarga seperti saya.

Ayah saya seorang pekerja sambilan dan ibu saya mencuci pinggan di restoran berhampiran rumah kami. Kami susah, tetapi kami gembira dan melalui kerja keras ibu bapa, saya mendapat pendidikan seperti orang lain.

-Utusan-