Terkini! Abah umum berita baik, rentas negeri dibenarkan dalam masa terdekat
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, menyatakan rentas negeri berkemungkinan dibenarkan pada Oktober ini.
Menurutnya, mesyuarat MPN kali ketiga hari ini mendengar taklimat daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkaitan kebenaran rentas sempadan di sebahagian besar daerah di negara ini.
“Berdasarkan kepada data, kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus.
“Kemungkinan dibenarkan rentas negeri dalam Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.
“Jadi bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kementerian Kewangan, hari ini.
Selain Khairy, turut hadir di mesyuarat itu adalah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Mesyuarat itu juga bersetuju pembukaan semula sempadan negara diteliti dan dibincangkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata, perkara itu sedang diperhalusi oleh menteri terbabit untuk dibincangkan minggu ini termasuk membabitkan kewajaran pembukaan semula sempadan negara, yang ditutup sejak Mac tahun lalu.
Beliau berkata, Perdana Menteri diharapkan dapat membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat.
“Isu pembukaan sempadan saya bangkitkan tadi dan ada respon. Ini sedang diperhalusi oleh menteri yang terbabit untuk dibincangkan dalam minggu ini juga, apakah kewajarannnya supaya sempadan negara kita dibuka untuk membolehkan Malaysia dan rakyat kita pergi ke luar negeri di mana diterima disebabkan mereka semua sudah diberikan suntikan dos lengkap.
“Kita lihat sama ada sempadan akan dibuka untuk membolehkan pelawat, peniaga, usahawan, pelancong datang ke negara kita.
“Salah satu daripada keputusan yang saya fikir akan membawa kesan yang besar kepada negara kita,” katanya, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Muhyiddin berkata, MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh membabitkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan.
Menurutnya, ia termasuk sektor yang perlu diberikan keutamaan dalam proses pemulihan terutama aktiviti ekonomi yang paling memberikan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta sektor yang paling banyak menyediakan pekerjaan dan sektor yang paling terjejas akibat penularan Covid-19.