Terkini! Ahli parlimen ‘katak’ sokong RUU antilompat parti

Terkini! Ahli parlimen ‘katak’ sokong RUU antilompat parti

Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan perlembagaan berhubung anti lompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Ia diluluskan untuk bacaan ketiga walaupun terdapat ahli parlimen yang berpendapat ia tidak bersifat menyeluruh berhubung isu berkenaan.

RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada menentang, manakala 11 orang tidak hadir, lapor Malaysiakini.

Dengan pindaan ini, ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya. Namun, ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.

Sejak pilihan raya umum 2018, lebih daripada 30 ahli parlimen yang melompat parti.