Terkini! Hadi mengaku Pas jadi dalang jatuhkan kerajaan PH

Terkini! Hadi mengaku Pas jadi dalang jatuhkan kerajaan PH

PAS menunjukkan pendekatan politik Penyatuan Ummah dalam menghadapi dominasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai secara perkauman, kumpulan liberal dan merisikokan bermacam bahaya lain.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu, gerakan untuk mengambil alih dan menukar kerajaan itu dilaksanakan dengan mengumpulkan parti-parti Melayu-Islam, NGO-NGO dan parti bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Tetapi malangnya masih ada salah faham, penyakit lama masih ada lagi (antara parti-parti Melayu-Islam). PAS mahu supaya Islam memimpin, bukan PAS sahaja, mesti gabung dengan orang Islam dulu. Macam Nabi buat di Madinah.

“Bila Nabi hijrah ke Madinah, Nabi gabungkan Muhajirin macam-macam kelompok Bani ‘Adi, macam-macam. Kemudian Aus dan Khazraj yang Islam tanpa mengira dia buat maksiat, tak buat maksiat, jahat ke apa, orang Islam dulu, gabung dengan orang Islam.

“Islam kuat menjadi tonggak perpaduan orang Islam dulu. Kemudian diajak orang bukan-Islam, orang Yahudi, Kristian, Musyrikin yang tidak ekstrem. Ini diajar oleh Nabi dan kita ambil pendekatan ini,” terang beliau.

Menurut beliau, PAS telah memulakan langkah itu dua minggu selepas PRU14 termasuk menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului Langkah Sheraton yang diketahui sebelum ini.

Beliau yang juga Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah berucap demikian dalam Amanat Presiden sempena Karnival PAS Pilihanku peringkat negeri Perak di Dewan Millenium, Lubuk Merbau, di sini semalam.

Komited agenda penyatuan

“PAS (ada) 18 kerusi saja, orang lain banyak kerusi. Tapi PAS tunjukkan pendekatan ini. Tapi ada yang degil nak PAS dengan Umno je, tak boleh, mesti gabungkan semua orang Islam dan orang bukan-Islam yang tak ekstrem dalam satu gabungan hadapi pilihan raya mendapat majoriti dua pertiga.

“Dengan dua pertiga boleh pinda Perlembagaan, selesaikan masalah-masalah yang tak selesai. Banyak boleh buat. Tetapi kalau masing-masing nak pelihara kepada puak masing-masing, tak boleh selesaikan masalah.

“Namun demikian orang PAS sabar menghadapi ujian-ujian ini. Orang PAS sabar menghadapi kezaliman-kezaliman yang dibuat kepada PAS, kita boleh sabar kerana perpaduan orang Islam,” ujarnya.

Tuan Guru mengimbas peristiwa Memali dan Lubuk Merbau, Kedah yang mengakibatkan anggotanya mati syahid dan ramai dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Begitu juga katanya royaliti Terengganu yang dirompak dan sebelumnya Kelantan apabila dimenangi PAS tidak diberikan royalti, selain dikenakan pelbagai sekatan hingga kedua negeri itu menghadapi masalah kewangan.

“Kemudian dia kata tak boleh selesai masalah air, selesai masalah-masalah ini. Macam mana, kamu sekat. Yang ikut Perlembagaan pun tak bagi. Bagi pun lambat. Masa kita perintah Kelantan tahun 1990 ‘capitation grant’ (pun tak diberi).

“Iaitulah peruntukan yang wajib diberi oleh Kerajaan Persekutuan mengikut konsep Federalisme, ada kerajaan negeri, ada Kerajaan Pusat. Kerajaan negeri dipilih melalui pilihan raya, kerajaan pusat dipilih melalui pilihan raya.

“Negeri ada kuasa, Pusat ada kuasa. Dan Pusat mesti bayar pada negeri ‘capitation grant’. Cukai-cukai yang diambil, pakaiannya, makanannya, maka dia ikut jumlah rakyat negeri masing-masing, maka dibayar.

“Kebiasaannya bayar bulan Mac, bulan Ogos. (Tetapi) Bagi Kelantan dia bayar bulan Disember, nak susahkan Kelantan. Terengganu kita menang, 1999 menang balik. 1959 kita dah menang, pertama di Terengganu. 1961 dijatuhkan.

“Beli wakil-wakil rakyat. Tekan 1961 jatuh Kerajaan Terengganu.  Kelantan kita boleh bertahan, itu cara dibuatnya. Bila kita ada masalah, dia hentam kita, padahal dia yang buat masalah, sekat. Kita sabar ini semua, ajak pada perpaduan.

“Lupa yang lama itu, mari bina balik kekuatan ummah. Ini. Kita ajak balik,” ujar beliau menjelaskan kesungguhan PAS mahukan kebersamaan dengan Umno dan BERSATU di sebalik semua yang terjadi disebutkannya.

Teruskan agenda syariah

Tambahnya lagi, PAS selepas merdeka turut dicemuhkan dan dimomokkan dengan hukum hudud untuk dilaksana secara menakutkan apabila memerintah di mana akan ramai orang menjadi cacat dan kudung.

Malah luahnya kesal, terdapat sindir-sindir akan tidak cukup batu hendak dibuat jalan raya serta bermacam percakapan lain yang menghina hukum Islam disebabkan oleh kejahilan hingga berlaku gejala kafir-mengkafir.

Menurut beliau, selepas tragedi 13 Mei 1969 PAS bersama kerajaan campuran dan ketika itu diterbitkan buku Mustika Hadis yang membicarakan mengenai akidah dengan mengupas batas iman dan kufur hasil permintaan Dato’ Asri Muda tahun 1979.

“Saya pula dihentam (dengan isu) Amanat Hadi. Banyak yang kena tahan ISA pemuda-pemuda kita, ditanya soalan kepada yang tahanan ISA ini tentang amanat saya. Kawan-kawan itu kata mengapa tak tangkap dia, tangkap kami?

“Kita minta bincang secara ilmu. Alhamdulillah akhirnya cakap-cakap politik suku, agama suku, cakap menghina Islam tak ada lagi, hilang. Masing-masing semangat Islam, dan sehingga kita berjaya, berbincang dengan Umno sebelum PRU14.

“Umno ajak kita masuk Barisan (Nasional). PAS dah masuk Barisan (dahulu), tak boleh masuk acap kali sangat, tak boleh masuk. Dia setuju RUU355 ke arah memperkenalkan hukum takzir. Kalangan Umno sokong. Ada yang tak sokong. Tak cukup majoriti.

“Kita tangguh dulu. Kita tangguh sehingga cukup majoriti. Nak memperkenalkan hukuman sebat dalam Islam dan sebat undang-undang sivil. Rupanya mereka takut kepada hukum Islam.

“Kalau laksanakan hukum Islam ini, orang bukan-Islam akan pilih hukum Islam kerana hukum Islam tidak menyeksa, tidak mendera, itu sebabnya,” ujarnya optimis agenda syariah itu dapat direalisasikan bila Ahli Parlimen Islam memiliki majoriti besar di Parlimen.