Terkini! Idris bakal tanding mewakili PKR, guna lambang PH

Terkini! Idris bakal tanding mewakili PKR, guna lambang PH

 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa gabungannya akan mencalonkan dua bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad akan diumumkan esok bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam majlis pengumuman bersama PKR dan Amanah.

“Kita berpendapat bahawa DUN sudah bubar, jadi soal lompat parti tidak berbangkit. Mereka bukan lagi ADUN, mereka memerlukan mandat baharu, terpulang kepada parti sama ada menerima atau tidak.

“Kita perlu ambil pendirian menolak sama sekali atau memberi ruang dengan syarat terima dasar kita, kepelbagaiaan kita, tatakelola yang baik.

“Sebab itu, dalam pertimbangan kita, setakat yang saya faham, PKR hanya memilih satu, Amanah memilih satu, walaupun akan dimuktamadkan lewat malam ini, Insya-Allah esok pagi, sebelum diumumkan calon,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Beliau juga memohon maaf jika keputusan itu tidak seperti yang diharapkan sesetengah pihak.

“Saya mohon maaf kalau ada sedikit pandangan berbeza dengan beberapa rakan yang selama ini konsisten menyokong kita, tapi harus kita bezakan, ada yang kata dulu boleh sekarang tak boleh, itu lain, tapi orang yang konsisten menegur dan mengkritik kita, kita terima baik teguran dan kita akan buktikan bahawa landasan perjuangan tidak akan kita korbankan,” katanya.

DAP sudah pun mengumumkan lapan calon PRN Melaka petang tadi dengan dua calon baharu, manakala PKR akan mengumumkan 11 calon dan Amanah dengan sembilan calon.