Terkini! Idris Haron bakal sertai Pakatan Harapan
Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Nor Azman Hassan akan menyertai parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH)
Bagaimanapun perkara berkenaan akan diumumkan pada masa sesuai menjelang pilihan raya negeri (PRN), susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Memetik laporan Berita Harian, Nor Azman berkata, setakat ini beliau dan Idris yang juga ADUN Sungai Udang, sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing, tetapi masih membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan mereka bukan setakat menang, malah mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu.
“Saya dan Datuk Seri (Idris) akan buat keputusan parti mana yang akan kami sertai pada waktu sesuai sebelum PRN tetapi yang dua orang lagi (ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad), saya tidak tahu,” katanya.
Nor Azman enggan mengulas mengenai parti atau pemimpin yang menghubungi mereka dan membuat tawaran menyertai gabungan PH itu.
Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), manakala Idris pula akan mempertahankan kerusi Sungai Udang yang sudah dimenanginya selama dua penggal.