Terkini! Idris Haron gesa PH sertai PN

Terkini! Idris Haron gesa PH sertai PN

PAKATAN Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu perlu bersama-sama melawan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PTRU15).

Pandangan itu disuarakan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang menarik sokongan kepada kerajaan BN Melaka sehingga terjadinya Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu, lapor Malaysiakini.

Idris yang kini bersama PKR berkata, PH memerlukan faktor ‘wow’ untuk memenangi PRU15.

“Kena ada satu wow factor, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.

“Jadi saya melihat faktor wow tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula,” katanya, memetik Malaysiapost.

Pada PRN Melaka lalu, BN menang besar untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga, manakala PH hanya menang lima kerusi – kesemuanya menerusi DAP.

PKR pula tewas di semua lapan kerusi termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan yang ditandingi Idris – rekod terburuk PKR sejak beberapa siri pilihan raya.

Mengulas lanjut, Idris menyatakan kekalahan PH di Melaka disebabkan perpecahan undi antara PH dan PN, selain peratusan keluar mengundi rendah dan PH hilang sokongan pengundi Melayu di beberapa kerusi.

“Saya tetap katakan kekalahan PH dalam PRN Melaka ini sebab perpecahan PH dan PN tu sendiri.

“Saya kata ralat sebab kita tak sempat suarakan, memandangkan BN sungguh-sungguh tolak PN dalam kerjasama PRN tempoh hari. Cuma tak ada tawaran dari PH (untuk kerjasama dengan PN).

“Mungkin kalau itu berlaku senarionya berbeza,” katanya lagi.