Terkini! Kerajaan bertindak drastik, mungkin wajibkan vaksin
PERDANA Menteri berkata kerajaan masih mengkaji keperluan untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun pengambilan pelalian itu belum diwajibkan, namun beliau menggesa dan menggalakkan semua pihak berbuat demikian demi kebaikan bersama.
Setakat ini, katanya, jumlah yang enggan mengambil vaksin Covid-19 bukan atas sebab kesihatan hanyalah kira-kira satu peratus.
“Ramai yang marah kenapa kita nak memaksa dan menghukum (yang tidak mahu vaksin). Saya nak beritahu setakat semalam sudah 92 peratus (rakyat dewasa) mendapat vaksin, yang mendapat satu dos sudah 95 peratus.
“Yang tak nak vaksin hanya lebih kurang satu peratus sahaja. Dari segi prinsip kerajaan, kita menjaga kepentingan ramai berbanding melindungi kepentingan (kelompok) yang sangat sedikit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, pagi ini.
Ogos lalu, Perdana Menteri menjelaskan pengambilan vaksin Covid-19 mungkin diwajibkan jika masih ramai yang enggan menerimanya.
Ismail Sabri berkata, ini kerana dibimbangi individu yang tidak divaksin boleh menjangkiti orang lain, sedangkan keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan semua rakyat di negara ini.
“Setakat ini kita masih belum lagi mewajibkan tetapi saya percaya satu hari nanti kalau masih ramai yang enggan menerima vaksin mungkin kita akan tetapkan perkara itu sebagai wajib,” katanya.