Terkini! Kerajaan Terengganu mengakui MB tengah seronok bercuti di Auckland
Tanda tanya ketiadaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di dalam negeri selepas banjir melanda sejak Ahad lalu terjawab apabila beliau disahkan berada di Auckland, New Zealand.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat yang mengesahkan perkara itu berkata, Ahmad Samsuri akan pulang hari ini.
Bagaimanapun, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional negeri tidak mengetahui masa ketibaan Menteri Besar itu.
“Insha Allah, Menteri Besar akan balik dari New Zealand hari ini, tapi jam berapa tidak dapat dipastikan.
“Bagaimanapun, sebagai timbalan pengerusi bencana negeri, saya sangat berpuas hati di semua lapangan dan di PPS (pusat pemindahan sementara).
“Semua Exco-exco dan juga wakil rakyat telah memainkan peranan dengan sangat baik.
“Jadi, tidak timbul soal ketiadaan Menteri Besar di Terengganu kerana semua urusan banjir disini terkawal,” katanya.
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dilapor mendakwa Ahmad Samsuri kini berada di luar negara walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.
Beliau mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland, serta mendakwa pemimpin itu berlepas ke negara berkenaan pada 11 Disember lalu.
Dalam pada itu, Setiausaha Kelab Sahabat Ma’ruuf Terengganu (KSMT), Imran Azmi berkata, semua pemimpin sepatutnya kekal berada di dalam negeri sepanjang musim tengkujuh yang biasanya berlaku pada hujung tahun.
“Ketiadaan mana-mana pemimpin apatah lagi seorang Menteri Besar ketika rakyat sedang berada dalam keadaan huru hara akibat banjir terburuk tidak sepatutnya berlaku.
“Walau apa juga alasan beliau tidak turun ke lokasi untuk bertemu empat mata dengan mangsa banjir, penjelasan perlu dibuat supaya tidak menimbulkan fitnah atau prasangka dalam kalangan rakyat negeri sendiri,” katanya.
Kali terakhir Ahmad Samsuri dilihat berada di dalam negeri ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20, 11 Disember lalu.
Sehari sebelum majlis itu, Naib Presiden PAS itu sempat meninjau keadaan mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Chendering dan Atas Tol di sini serta Tok Jembal di Kuala Nerus.