Terkini! KJ kata KKM tak kisah PRN Melaka

Terkini! KJ kata KKM tak kisah PRN Melaka

 

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat kabinet esok berhubung pilihan raya negeri Melaka, kata Menteri Kesihatan.

Khairy Jamaluddin, berkata kementerian itu akan bersiap sedia bagi mengeluarkan sebarang prosedur yang diperlukan sekiranya pilihan raya negeri diadakan.

“KKM telah bentangkan pendirian semalam dalam jawatan kuasa pengurusan pandemik Covid-19, dan kita akan bincang sekali lagi di mesyuarat kabinet esok.

“Oleh kerana libatkan bukan hanya faktor kesihatan, tapi juga soal perundangan dan perlembagaan, kita akan ambil maklum apa saja keputusan jemaah menteri nanti.

“KKM akan sedia apa saja SOP diperlukan sekiranya ia berterusan. Kalau tak berterusan, maka kita ada masa lagi untuk kita menunggu,” kata Khairy semasa sidang media secara hibrid yang diadakan semasa lawatan kerjanya ke Hospital Kuala Lumpur, lapor Malaysiakini.

Khairy menjawab pertanyaan wartawan mengenai apakah pendirian KKM mengenai pilihan raya negeri Melaka, termasuk adakah ia selamat untuk diadakan semasa pandemik Covid-19.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dua hari lalu, setelah empat Adun menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh ketua menteri, Sulaiman Md Ali.

Ini membuka ruang untuk pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pilihan raya negeri menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana Malaysia, khususnya di Melaka sendiri, masih mencatatkan sejumlah besar kes jangkitan Covid-19 setiap hari.

Mereka yang menimbulkan kebimbangan itu termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang mengatakan bahawa KKM akan “bersiap sedia menghadapi yang terburuk”.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga mencadangkan darurat diisytiharkan di Melaka bagi menangguhkan proses pengundian seperti yang dilakukan di Sarawak.