Terkini! MB Kedah kata pembalakan diteruskan kerana terpaksa

Terkini! MB Kedah kata pembalakan diteruskan kerana terpaksa

Kerajaan negeri terpaksa membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda diteruskan oleh syarikat pembalakan bagi mengelakkan implikasi undang-undang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, kerajaan negeri hanya meneruskan aktiviti pembalakan yang telah dikeluarkan lesen pembalakan sebelum ini.

Muhammad Sanusi menjelaskan kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada syarikat yang sudah membayar premium sekiranya ingin membatalkan kelulusan kerja-kerja pembalakan tersebut.

“Bagaimanapun, keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda tertakluk kepada beberapa syarat termasuklah pembukaan pembalakan tahunan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Majlis Tanah Negara menetapkan catuan dihadkan kepada 4,200 hektar setahun,” katanya bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Beliau menjelaskan jumlah kelulusan seluruh Kedah yang diluluskan kerajaan sebelum ini adalah sebanyak 75,000 hektar termasuklah 25,000 hektar melibatkan kawasan Ulu Muda.

“Dengan catuan tebangan 4,200 hektar setahun, tempoh diperlukan untuk menebang semua pokok yang diluluskan melibatkan 75,000 hektar hanya akan habis 18 tahun lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, ada syarikat konsesi yang telah membayar premium sebanyak 100 peratus, 75 peratus dan ada bayar 25 peratus.

“Sekiranya, konsesi yang telah diluluskan ini dibatalkan maka kita perlu membayar semula premium ataupun terpaksa berdepan dengan tindakan mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti pembalakan di Ulu Muda dijalankan dengan kaedah mesra alam sekitar dengan penggunaan mesin ataupun jentera pengusahasilan sistem ‘log fisher’ sepertimana diperkenalkan di Pahang.

“Selain itu, Kedah juga menambah jarak penampan daripada 20 meter (m) kepada 40 m ketika ini supaya tidak masuk ke aliran air dan mengeruhkan keadaan di kawasan itu,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 seperti pembangunan projek berimpak tinggi dan perbandaran baharu yang lestari dan mampan yang akan memberi impak positif khususnya peluang pekerjaan.

“Keadaan ini juga akan menyumbang peningkatan hasil pendapatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui kutipan hasil cukai tanah dan cukai pintu dengan wujudnya kawasan industri serta perbandaran baharu di negeri ini tanpa bergantung kepada hasil aktiviti pembalakan,” katanya, lapor Sinar Harian.