Terkini! Menteri agama sedia bantu Sajat, golongan LGBT

Terkini! Menteri agama sedia bantu Sajat, golongan LGBT

Kerajaan sentiasa membuka pintu kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) termasuk usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat untuk membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya golongan berkenaan tidak akan dipinggirkan jika bertaubat dan kembali kepada fitrah kejadian selain bersedia memberikan khidmat kaunseling serta bimbingan kepada mereka.

“Insya-Allah kalau mereka ia sudi datang kepada kita, kalau mengaku salah dan sebagainya, kalau dia nak balik kepada fitrah, tidak ada masalah, kita terima dan bantu kerana kita bukan mahu menghukum tetapi lebih kepada mendidiknya.

“Dalam isu usahawan terbabit (Sajat), ia sudah menjadi satu keputusan daripada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya menerusi program Lawatan Turun Padang ke Terengganu, hari ini.

Terdahulu, Idris melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan ke Madrasah Darul Ansar serta bantuan kepada pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan.

Media sebelum ini melaporkan polis dalam proses memohon untuk mengekstradisi usahawan kosmetik terbabit daripada pihak berkuasa Thailand untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Ahli perniagaan itu diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, Idris turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terjebak dalam kehidupan golongan LGBT dan segera kembali ke fitrah asal sekiranya sudah terjerumus.

“Kita mengharapkan mereka ini, Insya-Allah kalau belum terjerumus, jangan terbabit, kalau sudah terjerumus, kembali kepada fitrah asal mereka.

“Mereka orang cantik, orang elok, orang baik, daripada segi dosa mungkin dosa saya lebih banyak,” katanya, memetik laporan Berita Harian.