Terkini! Menteri-menteri PN hantar surat kepada Agong bantah PRU15 tahun ini

Terkini! Menteri-menteri PN hantar surat kepada Agong bantah PRU15 tahun ini

Menteri Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membantah pembubaran segera Parlimen, yang akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Menurut The Vibes, seorang Ahli Parlimen berjawatan tinggi dalam BERSATU mengesahkan kesemua 12 anggota Kabinet PN dari parti mereka dan PAS telah menandatangani surat itu.

“Semua pemimpin PAS dan BERSATU telah mencapai kata sepakat di mana mereka tidak bersetuju pilihan raya diadakan tahun ini,” kata pemimpin itu yang enggan namanya didedahkan.

Awal hari ini, seorang pegawai media PN mengeluarkan butiran surat bertarikh Isnin (3 Oktober) yang diterima pihak Istana semalam.

Dalam surat itu, menteri PN menyebut musim banjir pada akhir tahun dan usaha pemulihan ekonomi negara sebagai antara sebab untuk menangguhkan pilihan raya umum sehingga tahun depan.

“Ini bermakna Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan pembubaran Parlimen,” kata pegawai PN itu.

Buat masa ini, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terdiri daripada 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

Barisan Kabinet terdiri daripada 14 menteri daripada Barisan Nasional (BN), 12 PN, empat Gabungan Parti Sarawak (GPS), seorang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan seorang lagi daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM).