Terkini! Muhyiddin kata Bersatu akan bertembung dengan Umno

Terkini! Muhyiddin kata Bersatu akan bertembung dengan Umno

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia untuk bertembung dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada cara lain untuk mengelak pertembungan itu memandangkan UMNO membuat keputusan untuk tidak mahu bersama-sama parti itu sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Bagaimanapun katanya, Bersatu mempunyai strategi dan cara tersendiri untuk mendekati rakyat berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perhimpunan Agung UMNO sudah buat keputusan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Secara asasnya mereka akan berlawan dengan kita (pada PRU15).

“Bersatu sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu… kalau kita terpaksa bertembung dalam PRU15, kita tiada cara lain untuk mengelakkannya. Itulah realiti politik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama barisan pemimpin Bersatu di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Semalam, Ahmad Zahid, sekali lagi mengumumkan bahawa UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu menangi pada pilihan raya umum yang lalu.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata,keputusan itu seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.

Mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan rakan gabungan PN di Sabah bagi berdepan PRU15, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menyerahkan kepada perbincangan antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Adalah elok mandat diberikan kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan rakan-rakan untuk berbincang.

“Bagi saya Sabah ini ada sedikit kelainan dengan Semenanjung dan perkara itu akan menjadi indikator supaya akan ada satu keputusan baik untuk semua,” katanya, lapor Astro Awani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, Bersatu memandang serius mengenai golongan belia dan memberi perhatian untuk menarik sokongan mereka susulan keputusan mengenai Undi18.