Terkini! Najib tak mengaku Umno punca DUN dibubarkan

Terkini! Najib tak mengaku Umno punca DUN dibubarkan

 

PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, berpendapat adalah tidak logik Umno dipersalahkan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sekaligus Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

Bekas Presiden Umno itu berkata, daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan hingga tumbangnya kerajaan Melaka, dua adalah dari Umno, seorang dari Bersatu dan seorang lagi bekas ahli DAP yang kedua-duanya sebelum ini bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, keempat-empat ADUN terbabit juga mengadakan perjumpaan rahsia dengan Ketua PH seperti dilaporkan sebelum ini.

“Yang empat ADUN suruh beri peluang untuk ambil alih kerajaan Melaka ialah PH. Yang mahu jumpa Tuan Yang Terutama (TYT) untuk suruh lantik Ketua Menteri baharu dari PH dengan sokongan empat ADUN tersebut ialah Ketua PH Melaka.

“Yang bantah pembubaran DUN Melaka dan mahu kerajaan Melaka diserahkan sahaja kepada PH ialah PH. Yang menerima manfaat terbesar sebab kerajaan Umno Melaka tumbang ialah PH.

“Tapi kenapa pula Umno yang disalahkan kerana kerajaan Melaka yang diketuai Umno ditumbangkan?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, lapor Malaysiapost.

Menurut Najib, pihak lain yang berkomplot untuk tumbangkan kerajaan Melaka tetapi Umno pula dipersalahkan walaupun yang tumbang itu adalah kerajaan Umno.

“Mana logiknya?” soalnya lagi.