Terkini! Parti Ibrahim Ali cuba nasib, tanding 5 kerusi

Terkini! Parti Ibrahim Ali cuba nasib, tanding 5 kerusi

 

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan bertanding lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusi Perhubungan Negeri Putra Melaka, Prof Dr Mohd Aluwi Sari berkata pihaknya telah menghantar 13 senarai nama awal kepada Presiden parti, Datuk Ibrahim Ali untuk dipertimbangkan.

Katanya, daripada jumlah itu enam calon termasuk beliau sendiri telah disenarai pendek untuk bertanding namun seorang daripada mereka menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Kesemua yang bertanding terdiri pelbagai latar belakang dan memegang jawatan dalam Putra Melaka sama ada di peringkat negeri mahupun bahagian.

“Fokus utama kita ialah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). namun tanpa disangka berlaku PRN maka kita akan meletakkan calon,” katanya, lapor Malaysiapost.

Mohd Aluwi berkata kerusi-kerusi yang akan ditandingi parti itu akan diumumkan Ibrahim dalam masa terdekat.

Kami bertanding untuk membolehkan rakyat membuat pilihan pimpinan yang sewajarnya menerajui negeri terutama meningkatkan ekonomi serta pendapatan rakyat,” katanya.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November depan.