Terkini! Pas buat keputusan curang dengan Umno di Melaka

Terkini! Pas buat keputusan curang dengan Umno di Melaka

 

PAS akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, hari ini.

Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang semalam.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung hari ini di Pejabat Agung PAS Pusat sudah meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka.

“Ketetapan ini mengambil kira panduan diberikan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021 (semalam), selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” katanya dalam kenyataan, malam ini, menurut laporan Berita Harian.

Keputusan PAS itu mengundang tanda tanya berkenaan status kerjasama ditawarkan UMNO baru-baru ini yang mensyaratkan PAS menggunakan lambangnya sendiri di Melaka.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS kerana ia selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih awal membuat pengumuman pada 26 Oktober lalu bahawa semua komponen PN iaitu BERSATU, PAS dan GERAKAN sepakat untuk bertanding pada PRN Melaka menggunakan lambang PN.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan BERSATU.

Perdana Menteri turut memaklumkan beliau diberi mandat oleh UMNO untuk berunding dengan PAS dan BERSATU bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat diberi MKT.