Terkini! Pas dalam dilema memilih ‘pasangan’, rakus mahu kedua-duanya

Terkini! Pas dalam dilema memilih ‘pasangan’, rakus mahu kedua-duanya

 

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada bulan depan, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

“Mesyuarat (malam ini) memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS selaras ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat 19 Okt dan 18 Nov 2020.

“Ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

Ahmad berkata, mesyuarat itu juga bersetuju melantik Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebagai Pengarah PRN Melaka.

Selasa lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Bersatu, PAS dan Gerakan akan bertanding di PRN Melaka menggunakan lambang PN.

Katanya, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi parti komponen PN itu akan dimuktamadkan jawatankuasa rundingan kerusi PN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Melaka diadakan pada 20 Nov, dengan penamaan calon pada 8 Nov dan pengundian awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.