Terkini! Peguam Najib tuduh hakim kendali kes Najib tertekan

Terkini! Peguam Najib tuduh hakim kendali kes Najib tertekan

HAKIM Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mengendalikan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) didakwa tertekan sehingga menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan prosiding secara hibrid, kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee yang merupakan ketua pasukan peguam bela Najib berkata, tekanan tersebut dipercayai kerana beberapa penangguhan perbicaraan terpaksa dilakukan kerana akibat pandemik Covid-19.

“Dari segi Covid-19 sahaja saya rasa ada dua atau tiga kali beliau terpaksa menangguhkannya.

“Jadi, ada tekanan kepada beliau. Mungkin tekanan ini juga disebabkan kes Syarikat SRC International Sdn Bhd sudah pun naik ke peringkat rayuan dan rayuan pun habis.

“Jadi, mungkin beliau tertekan untuk menjalankan kes ini dengan seberapa cepat yang boleh,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memohon perbicaraan kes itu dijalankan secara hibrid berikutan perubahan sebanyak dua kali pada status MySejahtera Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya.

Namun keesokannya, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk kes Najib membabitkan 1MDB dijalankan secara hibrid.

Bagaimanapun, Collin tidak menolak kemungkinan kes itu boleh diadakan secara hibrid pada masa hadapan.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Mengulas mengenainya, Shafee berkata, sepatutnya sebagai seorang hakim, Collin tidak boleh melarang jika perbicaraan kes dijalankan secara hibrid kerana ia seolah-olah mengabaikan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau kita lihat daripada apa yang tercatat dalam seksyen 15A, ia sendiri mengatakan bila kita mengguna pakai perbicaraan secara hibrid dan sebagainya, ia mestilah dengan kepentingan keadilan.

“Jadi, soalan sama ada hakim boleh mengabaikan atau tidak, jawapan saya hakim tidak boleh mengabaikkan larangan ataupun arahan KKM,” katanya.