Terkini! Pelajar lembik selepas divaksin, ini alasan menteri

Terkini! Pelajar lembik selepas divaksin, ini alasan menteri

Pelajar yang didakwa longlai selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam rakaman video tular didapati lewat tidur malam.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pelajar berkenaan juga tidak bersarapan sebelum ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore Mall, Klebang, Melaka.

“Pelajar lelaki berkenaan tiada sebarang masalah kesihatan tetapi gementar ketika suntikan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dr Noor Azmi berkata demikian sebagai reaksi terhadap rakaman video tersebut.

Menurutnya, keadaan seumpamanya boleh terjadi kepada individu yang terlalu takut, risau, tertekan atau terlalu sakit.

“Keadaan begini dalam istilah perubatan dikatakan ‘syncopal attack’ atau vasovagal syncopy,” katanya.

Beliau berkata, pelajar berkenaan telah dibenar pulang selepas didapati sihat dan selesai pemerhatian di PPV.

“Saya akan dapat maklumat lebih terperinci apabila menziarahi pelajar ini esok (Jumaat) jam 8.30 pagi. Apa pun pemeriksaan asas kesihatan perlu dilakukan doktor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan ibu bapa dan penjaga memastikan anak berada dalam keadaan terbaik termasuk tidur mencukupi dan bersarapan sebelum menerima suntikan vaksin.

“Saya sarankan pada pihak pengurusan PPV mengingatkan pelajar dan ibu bapa sekali lagi agar bersarapan,” katanya.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, pelajar juga tidak digalakkan melakukan aktiviti lasak seminggu selepas menerima suntikan vaksin.

“Jika ada masalah kesihatan, mesti maklumkan kepada doktor,” katanya, lapor Sinar Harian.