Terkini! Pemimpin BN kantoi fitnah, minta maaf pada Guan Eng

Terkini! Pemimpin BN kantoi fitnah, minta maaf pada Guan Eng

 

KES saman fitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu, Teng Chang Yeow berhubung artikel mengenai Pulau Jerejak diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kes saman itu selesai, selepas Chang Yeow selaku defendan membacakan permohonan maaf kepada Guan Eng selaku plaintif di hadapan Hakim, Datuk Seri Tun Majid Tun Hamzah.

Kenyataan permohonan maaf itu turut disaksikan peguam, Datuk N Mureli yang mewakili Guan Eng, lapor MalaysiaGazette.

Dalam pernyataan maaf dibacakan itu, Chang Yeow menyangkal dan menarik semula dakwaan dibuatnya menerusi satu sidang media pada 15 November 2016 yang mana kenyataan tersebut disiarkan pada keesokan hari di akhbar tempatan.

“Saya menyesali tuduhan saya yang tidak berasas menyebabkan kesusahan dan kesukaran terhadap Lim Guan Eng atas penerbitan artikel terbabit,” katanya.

Selain itu, Chang Yeow perlu membayar kos RM75,000 kepada Guan Eng seperti persetujuan direkodkan Mahkamah Rayuan pada 12 November lalu.

Pada April 2017, Guan Eng memfailkan saman menamakan Chang Yeow, yang juga bekas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang; Pengarang Berita Star Media Group Berhad, David Tan dan wartawan Crystal Chiam Shiying selaku defendan.

Dalam tuntutannya, Guan Eng mendakwa Chang Yeow membenar dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di akhbar atau di laman web.

Guan Eng mendakwa laporan berita bertajuk ‘Pulau Jerejak land sale questioned’ diterbitkan pada 16 November 2016 mengandungi kenyataan fitnah dan tidak benar, mengaitkan beliau dalam isu berkenaan.

Susulan itu, pada 29 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan saman Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan atas alasan bekas Menteri Kewangan itu tidak mempunyai locus untuk menyaman mana-mana pihak atas kapasiti rasminya.

Namun, pada 12 November lalu Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu dan memerintahkan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.