Terkini! Penganalisis kata Ali Rustam ada hak bubar DUN
YANG di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam berhak membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka selari dengan peruntukan Perlembagaan negeri.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata hak Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN termaktub dalam Perlembagaan negeri dan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Itu hak dia (Mohd Ali). Dalam pelembagaan negeri beliau ada hak untuk membubarkan DUN,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Beliau berkata, Yang di-Pertua Negeri akan membuat perbincangan dan fikir sedalamnya sebelum membuat keputusan penting yang melibatkan kerajaan negeri.
“Keputusan untuk membubarkan DUN itu pastinya beliau sudah berbincang dan fikir secara mendalam,” katanya.
Pakatan Harapan (PH) hari ini mendakwa, Mohd Ali bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk membubarkan DUN Melaka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dilaporkan berkata, sepatutnya Mohd Ali mendengar pandangan daripada majoriti Adun serta empat yang tidak menyokong kerajaan, sebelum membuat sebarang pertimbangan mengenai perkara itu.
Tambah Adly, pihaknya juga berpandangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti dan tidak wajar menasihati Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14.
Sementara itu, Dr Mohd Izani berkata, bagaimanapun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum sesuai untuk diadakan dalam tempoh terdekat jika dilihat berdasarkan kes harian Covid-19 yang masih tinggi.
“Kita nak mengelakkan sebarang pilihan raya dan pembubaran DUN tetapi kini nasi sudah jadi bubur.
“Bila pembubaran DUN telah berlaku, maka pilihan raya perlu diadakan melainkan jika ada pengisytiharan darurat atau cara-cara lain untuk mengelakkan pilihan raya berlaku,” katanya, lapor Malaysiapost.
Menurutnya, walaupun kadar peratusan vaksinasi populasi dewasa di Malaysia menghampiri 90 peratus dan negara akan memasuki fasa endemik itu tidak bermakna pilihan raya berskala besar boleh diadakan.
Ini kerana, katanya, rakyat baru berpeluang menarik nafas lega dengan beberapa kelonggaran yang diberikan kerajaan dan sektor ekonomi baru kembali rancak.
“Sebaiknya isu-isu sebegini seperti pilihan raya tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak nampak rakyat mahu pilihan raya buat masa sekarang,” katanya.