Terkini! PN muktamadkan kerusi PRN Melaka dalam masa terdekat, tak hiraukan Umno

Terkini! PN muktamadkan kerusi PRN Melaka dalam masa terdekat, tak hiraukan Umno

 

RUNDINGAN kerusi di antara semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, semalam juga telah membincangkan persiapan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

“Bersatu bersedia untuk menghadapi PRN Melaka dengan melakukan persiapan sewajarnya memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah pun dibubarkan.

“Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi Parti PN negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PN negeri telah pun mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponen PN bagi menghadapi pilihan raya ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan taklimat yang diberikan Mohd Rafiq, Bersatu dan parti komponen PN akan terus meningkatkan pelaksanaan program-program jangkau luar (outreach) sedia ada di kerusi- kerusi DUN Melaka.

“Ini bagi menyantuni rakyat antaranya inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Melaka,” katanya, seperti dilapor Malaysiapost.