Terkini! Rauf kutuk macam-macam, akhirnya Idris Haron buka mulut

Terkini! Rauf kutuk macam-macam, akhirnya Idris Haron buka mulut

 

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menafikan tuduhan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kononnya beliau bercita-cita menjadi Ketua Menteri.

Beliau mendakwa, sebaliknya Ab Rauf yang berhasrat memegang jawatan itu, tetapi terpaksa meletakkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menjadi Ketua Menteri yang didakwanya tidak lebih daripada sekadar ‘boneka’ yang mudah dikawal.

“Saya tiada niat untuk merebut jawatan Ketua Menteri, sebaliknya yang ada niat itu ialah Ab Rauf Yusoh sehingga sanggup meletakkan boneka dalam kerajaan negeri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Idris berkata demikian mengulas kenyataan Ab Rauf ketika berucap pada pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi, yang mendakwa beliau bercita-cita mahu menjadi Ketua Menteri apabila menarik sokongan kepada Sulaiman pada 4 Oktober lalu.

Beliau mendakwa, Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bercita-cita untuk menjadi Ketua Menteri ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Mac tahun lalu.

Dakwanya, Ab Rauf bagaimanapun ketika itu terpaksa meletakkan Sulaiman bagi menerajui kepemimpinan negeri di bawah BN kerana mudah mengawal pemimpin itu.

“Beliau (Ab Rauf) lebih cenderung memilih Sulaiman untuk diletakkan sebagai pemimpin yang mudah menerima arahan, selain tidak akan menimbulkan masalah kepadanya,” dakwanya.

Idris menjadi Ketua Menteri Ke-10 dari 7 Mei 2013 hingga 10 Mei 2018 selepas BN tewas kepada PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau dilantik oleh Sulaiman sebagai EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri pada 13 Mac 2020.

Bagaimanapun, beliau dan tiga bekas Adun, iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan kepada Sulaiman pada 4 Oktober lalu, sekali gus menyebabkan kerajaan BN Melaka tumbang.