Terkini! Selepas degil tak minta maaf, Anwar heret Razman ke mahkamah

Terkini! Selepas degil tak minta maaf, Anwar heret Razman ke mahkamah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, mengemukakan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berhubung ucapan mengaitkannya dengan dakwaan membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Anwar yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menuntut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol itu membayar ganti rugi am, teruk dan teladan serta injunksi menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.

Dalam pernyataan tuntutannya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Razman memberikan satu ucapan kempen pilihan raya pada program ‘walkabout’ pasar malam Tebuk Pancur yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebooknya ‘Haji Razman Zakaria’ yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 perkongsian dan melebihi 2600 komen.

Beliau berkata, Razman kemudian menerbitkan atau menyebabkan siaran video secara langsung Facebook dan kandungannya diterbitkan semula di artikel Malaysiakini bertajuk ‘Razman dakwa Anwar bawa agenda LGBT, bimbang kerjasama PH-BN’ bertarikh 6 November lalu dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Katanya, penerbitan itu adalah satu fitnah terhadap dirinya yang antaranya membawa maksud beliau adalah seorang yang cenderung kelakuan songsang, menggalakkan perkahwinan sejenis dan mengamalkan serta menyokong ideologi komunis.

“Penerbitan yang diterbitkan semula itu adalah fitnah, tidak benar dan berniat jahat, sengaja dilakukan tanpa apa-apa terhadap kebenarannya dan memprejudiskan dan memudaratkan reputasi saya dengan teruk sekali.

“Dakwaan dalam penerbitan itu adalah tidak benar, melampau, jahat dan palsu sepenuhnya. Saya sentiasa mengecam semua dakwaan agenda LGBT dan memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus negara.

“Penerbitan itu adalah tidak berasas dan mengandungi dakwaan yang tidak betul menggambarkan saya sebagai membawa agenda LGBT. Saya tidak pernah menyokong perkahwinan sejenis,” katanya.

Anwar berkata, penerbitan fitnah oleh Razman itu dibuat tanpa mendapatkan pengesahan mengenai kebenaran perkara itu daripadanya terlebih dahulu.

Katanya, tindakan Razman jelas didorong oleh motif buruk berniat jahat yang bertujuan untuk mendapatkan publisiti murahan demi kepentingan peribadi dan politik.