Terkini! Senator Pas sokongan AMANAH dalam isu arak

Terkini! Senator Pas sokongan AMANAH dalam isu arak

 

Seorang Senator PAS berpendirian beliau boleh menyokong cadangan daripada mana-mana parti sekiranya ia mempertahankan dan memperjuangkan kedudukan umat Islam.

Mohd Apandi Mohamad berkata, cadangan Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa berhubung “sensitiviti umat” perlu dimasukkan dalam suatu “dasar arak” agar isu minuman keras tidak sentiasa dipolitikkan mestilah bersifat jangka panjang, bukan agenda politik atau peribadi.

“Walau ia datang daripada pihak mana, selagi mana ia memperjuangkan kedudukan umat Islam dalam apa jua isu kita mesti bersama.

“Cuma undang-undang perlu jelas kerana jenama arak yang baharu itu telah menggunakan nama Melayu dan ini memberi satu keraguan dan kelirukan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Mujahid berhubung kontroversi arak buatan tempatan, Timah.

Semalam, Mujahid berkata “sensitiviti umat” perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak termasuk dalam hal pemilihan jenama dan lambang.

Mujahid berkata, perkara itu perlu dimasukkan dalam suatu “dasar arak” agar isu itu tidak sentiasa dipolitikkan sehingga menimbulkan polemik berterusan.

Dalam pada itu, Apandi berkata, kelulusan jenama Timah itu perlu dikaji semula dan dihentikan sekiranya menggunakan jenama Melayu pada arak.

Katanya, semua kementerian terlibat sama termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) yang meluluskan nama Timah itu perlu mengkaji balik.

Sebelum ini, syarikat pengeluar Timah menjelaskan nama jenama itu merujuk kepada logam timah, bersempena perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British.

Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.

Penjelasan itu dibuat selepas pihak tertentu mengatakan Timah merupakan singkatan kepada Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad, dan penutup kepala Kapten Speedy menyerupai kopiah.