Terkini! Shahidan kata BN akan kerjasama dengan PN lawan PH

Terkini! Shahidan kata BN akan kerjasama dengan PN lawan PH

 

DI sebalik keputusan PAS untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ketua Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tetap optimis tiada pertembungan tiga penjuru.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata keputusan PAS menggunakan lambang PN dalam PRN itu bermakna Barisan Nasional (BN) dan PN akan bersama berdepan Pakatan Harapan (PH).

“PAS menggunakan lambang parti PN. Ini bermakna BN, PN akan bersama menghadapi PH (dalam PRN Melaka),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, seperti dilaporkan Malaysiapost.

Shahidan yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis berkata BN perlu mempertahankan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya.

“Terbaik. Bagi BN kita kena pertahankan 13 kerusi yang disandang dan bersedia tawan semula. Lima, empat atau tiga DUN,” katanya.

Katanya lagi rundingan bagi pembahagian kerusi antara parti-parti yang terlibat perlu dilaksanakan secara berjiwa besar.

Terdahulu PAS membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN pada PRN Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat malam tadi.

Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang semalam.

Pada 28 Oktober lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan Umno akan bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, dengan syarat parti itu menggunakan lambang sendiri.